KUALA LUMPUR: Untung bersih Johor Plantations Group Bhd meningkat 34.1 peratus kepada RM345.02 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding RM257.32 juta pada tahun sebelumnya.
Hasil pula mencecah RM1.72 bilion, naik 13.1 peratus daripada RM1.52 bilion pada tahun sebelumnya, dipacu peningkatan jumlah penghantaran dan pemprosesan merentasi operasinya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, prestasi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dipacu pelaksanaan operasi yang berdisiplin di seluruh rangkaian operasinya.
Katanya, peningkatan kadar penggunaan kilang serta pertambahan penerimaan tanaman luar meningkatkan jumlah tandan buah segar (FFB) yang diproses sebanyak 6.4 peratus kepada 1.58 juta tan.
"Di peringkat ladang, tumpuan berterusan terhadap amalan agronomi menterjemah kepada hasil FFB yang lebih kukuh sebanyak 22.82 tan metrik sehektar (MT/ha), sekali gus mencerminkan produktiviti lebih tinggi bagi setiap hektar.
"Peningkatan ketersediaan FFB turut menyumbang secara langsung kepada pertambahan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM), dengan jumlah penghantaran MSM meningkat 5.8 peratus, disokong daya pemprosesan kilang yang lebih tinggi," katanya.
Bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, Johor Plantations mencatat untung bersih lebih tinggi sebanyak RM87.86 juta, meningkat 9.1 peratus daripada RM80.50 juta sebelum ini, manakala hasil meningkat kepada RM489.82 juta berbanding RM464.93 juta.
Pertumbuhan itu dipacu oleh jumlah pemprosesan yang berdaya tahan bagi MSM dan isirung sawit, meskipun harga pasaran lebih rendah menjelang akhir tahun.
Lembaga pengarah turut mengisytiharkan dividen interim satu peringkat sebanyak 3.0 sen sesaham, yang akan dibayar pada 19 Mac 2026, dengan tarikh kelayakan ditetapkan pada 4 Mac 2026.
-- BERNAMA
