KUALA LUMPUR: Hock Soon Capital Berhad memulakan dagangan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia hari ini pada harga 53 sen sesaham, iaitu tujuh sen lebih rendah daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 60 sen, dengan jumlah dagangan awal mencecah 5.98 juta saham.
Walaupun harga pembukaan berada di bawah paras IPO, pengurusan syarikat kekal optimistik terhadap prospek jangka sederhana dan panjang, disokong asas perniagaan yang kukuh, pengukuhan ringgit yang membantu mengurangkan kos makanan ternakan import serta pelaksanaan pelan pengembangan selepas penyenaraian.
Pengarah Eksekutif Hock Soon, Alex Ong Keat Hoe, berkata keutamaan utama syarikat selepas penyenaraian adalah melaksanakan pelan pengembangan seperti digariskan semasa IPO, khususnya pembangunan ladang ayam baharu di Teluk Intan, Perak.
Beliau berkata, pengeluaran telur pertama daripada projek ladang baharu itu dijangka bermula dalam tempoh enam bulan selepas penyenaraian, sekali gus menyumbang kepada peningkatan hasil dan keuntungan kumpulan.
Dalam masa sama, Hock Soon berada pada kedudukan kukuh untuk meraih manfaat daripada pengukuhan ringgit yang dijangka membantu menurunkan kos makanan ternakan import serta menyokong pengukuhan margin keuntungan.
Alex berkata, makanan ternakan kekal sebagai komponen kos terbesar operasi kumpulan, dengan bahan mentah utama seperti jagung dan hampas kacang soya diimport serta diniagakan dalam dolar Amerika Syarikat.
"Dengan pengukuhan Ringgit, kami dapat menjimatkan kos makanan ternakan yang kebanyakannya diimport dari negara seperti Argentina, Brazil dan Ukraine. Ini memberi kesan positif secara langsung kepada margin," katanya kepada media selepas pelancaran penyenaraian.
Pada masa sama, Hock Soon melihat peluasan pasaran eksport ke Singapura sebagai sumber pertumbuhan tambahan serta kepelbagaian pendapatan jangka sederhana, dengan proses audit eksport telah diselesaikan dan kini menunggu kelulusan Singapore Food Agency. Pasaran itu disasarkan menyumbang sekitar lima peratus kepada hasil kumpulan pada peringkat awal.
"Keutamaan kami kekal untuk memastikan bekalan makanan yang stabil kepada pasaran tempatan. Singapura akan menjadi pasaran pelengkap yang menyumbang kepada kepelbagaian hasil, dengan potensi margin yang lebih baik disokong oleh kekuatan mata wang," katanya.
Menerusi penyenaraian itu, Hock Soon berjaya mengumpul dana RM60 juta daripada terbitan awam melibatkan 100 juta saham baharu, manakala 50 juta saham sedia ada ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Daripada jumlah hasil IPO, sebanyak RM53.5 juta atau 89.1 peratus diperuntukkan bagi pembangunan ladang ayam baharu di Teluk Intan, manakala RM6.5 juta atau 10.9 peratus digunakan bagi menampung kos penyenaraian.
Selepas ladang ayam di Teluk Intan siap sepenuhnya, kapasiti pengeluaran telur Hock Soon dijangka meningkat kepada 3.16 juta biji sehari berbanding 1.63 juta biji sehari ketika ini, sekali gus menyokong pertumbuhan syarikat dalam industri ternakan ayam negara.
Projek di Teluk Intan melibatkan pembinaan 25 reban ayam sistem tertutup baharu yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh lima tahun. Reban baharu itu dijangka mula beroperasi dalam tempoh enam bulan selepas siap pembinaan.
Ketika ini, syarikat mengendalikan ladang ayam di Bidor, Perak, dengan kapasiti pengeluaran sekitar 1.63 juta biji telur sehari.
Berdasarkan modal saham terbitan diperbesarkan sebanyak 500 juta saham, permodalan pasaran Hock Soon selepas penyenaraian dianggarkan sekitar RM300 juta.
M & A Securities Sdn Bhd bertindak sebagai penasihat, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO berkenaan.
