Maxis catat untung bersih RM1.56 bilion

HarianMetro Thu, Feb 12, 2026 02:30pm - 3 weeks View Original


Kuala Lumpur: Maxis Berhad (Maxis) mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (TK2025) apabila merekodkan peningkatan Keuntungan Selepas Cukai (PAT) sebanyak 11.8 peratus kepada RM1.56 bilion.

Pertumbuhan luar biasa itu didorong oleh Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) yang lebih mantap, meningkat 5.0 peratus kepada RM4.33 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Pencapaian ini merupakan antara catatan EBITDA tahun penuh tertinggi buat syarikat telekomunikasi gergasi ini, sekali gus mencerminkan keberkesanan pengurusan kos yang berdisiplin serta inisiatif pendigitalan operasi secara menyeluruh.

Hasil perkhidmatan kumpulan turut menunjukkan aliran positif dengan peningkatan 0.5 peratus kepada RM8.91 bilion, hasil sokongan konsisten daripada segmen perniagaan pengguna dan pertumbuhan dalam sektor perusahaan.

Bagi segmen kediaman, Maxis melakar sejarah tersendiri apabila hasil perkhidmatan bahagian itu mencecah angka RM1 bilion buat kali pertama, dipacu oleh peningkatan langganan jalur lebar tanpa wayar yang kini mencapai 799,000 pelanggan.

Meskipun hasil mudah alih pengguna menyusut sedikit sebanyak 0.6 peratus kepada RM6.23 bilion akibat pelarasan komersial program Maxis Device Care, jumlah pelanggan sebenarnya meningkat 2.8 peratus kepada 9.98 juta pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Goh Seow Eng berkata, prestasi berkenaan adalah sejajar dengan panduan syarikat yang memberikan tumpuan kepada kecemerlangan operasi dan pelaksanaan strategi yang tepat.

"Sejajar dengan keuntungan kukuh ini, kami berbesar hati mengumumkan jumlah dividen sebanyak 17.5 sen untuk tahun ini, termasuk dividen interim keempat dan dividen sekali sahaja sebanyak 1.5 sen bagi suku ini," katanya.

Katanya, Maxis kini dalam fasa melabur secara agresif dalam infrastruktur rangkaian dan memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) generatif untuk meningkatkan kecekapan serta memenuhi keperluan pelanggan masa depan.

Antara langkah strategik yang diambil termasuklah peluasan rangkaian fiber optik milik sendiri di Pulau Pinang yang menyasarkan sambungan ke 100,000 kediaman menjelang tahun 2027.

Selain itu, syarikat turut memperkenalkan inovasi seperti Maxis Home Solar dan penyelesaian Rangkaian Selamat Kuantum pertama di Malaysia bagi memperkukuh keselamatan data entiti kerajaan serta perniagaan.

Melangkah ke hadapan, Maxis komited untuk memperkasakan segmen pengguna dan mengembangkan penawaran perusahaan melangkaui ketersambungan asas, termasuk menerokai peluang lebih besar dalam perniagaan borong.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

MAXIS 3.850

Comments

Login to comment.