KUALA LUMPUR: AmanahRaya Real Estate Investment Trust (AmanahRaya REIT) sedang dalam proses melantik jurutaksir bebas bagi menjalankan penilaian menyeluruh susulan insiden letupan pemampat penyaman udara di kafeteria HELP University di Bukit Damansara pagi tadi.
Dalam satu kenyataan hari ini, AmanahRaya REIT memaklumkan seorang individu maut manakala sembilan yang lain cedera akibat kejadian berkenaan.
"Ruang kantin terbabit telah dikosongkan dan akses dihadkan sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.
AmanahRaya REIT turut memaklumkan pihaknya telah menyalurkan bantuan serta sokongan kepada HELP University dalam menghadapi situasi berkenaan.
"Pihak pengurus iaitu AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn Bhd sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan termasuk polis dan perkhidmatan kecemasan, serta menegaskan komitmen untuk memberikan kerjasama sepenuhnya.
"Ini termasuk mematuhi semua keperluan dan arahan sepanjang siasatan dijalankan. AmanahRaya REIT akan terus berkongsi maklumat terkini yang telah disahkan, sekiranya ada. Keselamatan dan kesejahteraan semua penghuni, penuntut, kakitangan serta pihak berkepentingan di seluruh aset kekal menjadi keutamaan kami," katanya.
– BERNAMA
