Systech teroka pasaran pengguna, ambil alih Propappa Alliance

BeritaHarian Thu, Dec 18, 2025 06:09pm - 2 months View Original


KUALA LUMPUR: Penyedia penyelesaian digital, Systech Bhd kini melangkah berani ke dalam ekonomi digital berorientasikan pengguna, satu transformasi strategik daripada model perniagaan asalnya yang sebelum ini tertumpu kepada perkhidmatan korporat dan teknologi perusahaan.

Peralihan arah perniagaan itu dimeterai menerusi pengumuman bahawa anak syarikat milik penuhnya, Systech Capital Sdn Bhd menandatangani Perjanjian Utama (HOA) untuk mengambil alih 51 peratus kepentingan ekuiti dalam syarikat e-dagang tempatan, Propappa Alliance Sdn Bhd.

-Advertisement-

Dalam satu kenyataan, syarikat itu, berkata langkah pengambilalihan itu menandakan kemasukan rasmi Systech ke ruang e-dagang dan platform pengguna, sekali gus mempelbagaikan profil syarikat melangkaui penawaran tradisinya kepada segmen pasaran yang lebih luas.

Melalui pelaburan strategik berkenaan, kumpulan berhasrat membina ekosistem digital menghadap pengguna yang boleh diskala, dengan tumpuan khusus terhadap penyelesaian berkaitan hartanah serta pasaran yang didayakan teknologi hartanah atau PropTech.

Menerusi pegangan kawalan majoriti dalam Propappa Alliance yang terbabit dalam peruncitan dalam talian, Systech bakal memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju strategik dan pelaksanaan inisiatif pertumbuhan syarikat itu.

Sinergi itu bakal menyaksikan Systech memanfaatkan kepakaran teknologinya untuk menyokong Propappa Alliance menerusi penggunaan infrastruktur digital, analitik data dan pengoptimuman platform.

Dalam jangka masa panjang, kumpulan merancang meneroka peluang mengintegrasikan aplikasi pengguna berkaitan PropTech, termasuk perkhidmatan hartanah dan pasaran digital bagi meningkatkan interaksi pengguna dalam ekosistem berkenaan.

Pengasas dan Pengetua Propappa Alliance, Chua Boon Piew, menyambut baik kerjasama itu dan menyifatkannya sebagai peluang memperkukuh pertumbuhan syarikat melalui sokongan kumpulan teknologi yang mantap.

"Kami percaya pengalaman dan keupayaan Systech dapat menambah nilai kepada platform kami ketika kami terus membina dan mengembangkan perniagaan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Swan Consultancy Sdn Bhd bagi pihak Systech.

Cadangan pengambilalihan itu juga sejajar dengan strategi jangka panjang Systech untuk menjana aliran pendapatan yang pelbagai dan berulang, sambil meletakkan kumpulan dalam segmen pengguna digital yang sedang berkembang secara struktur.

Pengerusi Eksekutif Systech Bhd, Dato' Ong Theng Soon, berkata daripada perspektif Lembaga Pengarah, transaksi itu dinilai sebagai lanjutan kepada keupayaan digital sedia ada syarikat.

"Lembaga Pengarah kekal fokus untuk memastikan inisiatif sedemikian dilaksanakan dengan pengawasan, disiplin dan tadbir urus yang sewajarnya," katanya.

Lembaga Pengarah percaya bahawa pengembangan ke dalam e-dagang pengguna dan platform berkaitan PropTech itu menawarkan pilihan pertumbuhan bermakna dengan mengekalkan disiplin modal yang berhemat.

The content is a snapshot from Publisher. Refer to the original content for accurate info. Contact us for any changes.






Related Stocks

SYSTECH 0.160
SYSTECH-WA 0.040

Comments

Login to comment.