KUALA LUMPUR: Straits Energy Resources Bhd (Straits) melalui anak syarikatnya Benua Hijau Sdn Bhd, mencatat sejarah apabila disenaraikan dalam Malaysia Book of Records bagi acara penanaman pokok Gelam (Melaleuca cajuputi) terbesar di negara ini.
Syarikat dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 12,275 anak pokok ditanam dalam satu hari di Taman Negeri Setiu Wetlands, Terengganu, sekali gus menjadi sebahagian daripada usaha penghutanan semula berskala besar yang disasarkan mencecah 100,000 pokok dalam tempoh lima tahun.
Acara bersejarah itu diadakan sempena Festival Setiu Wetlands 2025 yang dianjurkan Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu. Hampir 500 sukarelawan daripada komuniti tempatan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan berganding bahu menanam pokok di kawasan tanah bencah terosot seluas 20 ekar, bersamaan 11 padang bola sepak.
Pengerusi Straits Energy, Dato Seri Tengku Baharuddin Ibni Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, berkata pencapaian itu adalah tonggak penting kepada projek pemulihan hutan di Setiu Wetlands.
Katanya, sejak Pusat Penyelidikan dan Tapak Semaian Gelam dilancarkan pada Oktober 2024, lebih 7,800 pokok telah ditanam oleh pelajar serta sukarelawan.
Beliau merakamkan penghargaan kepada Yayasan DiRaja Sultan Mizan, Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, PERHILITAN Terengganu, selain institusi pengajian tinggi termasuk Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin, University College Bestari, University College TATI, UiTM Dungun, Kolej Tesdec, Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin dan Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan.
"Komitmen rakan kongsi, institusi pendidikan dan NGO seperti WWF serta Sahabat Setiu memberi semangat kepada kami untuk mempercepatkan usaha memulihkan Setiu Wetlands. Inisiatif ini membuktikan keberkesanan kerjasama antara kerajaan, korporat dan komuniti dalam mencapai impak alam sekitar dan sosial jangka panjang," katanya.
Pencapaian ini turut disokong oleh anak syarikat Straits yang tersenarai di NYSE American, TMD Energy Limited, sekali gus mengukuhkan komitmen kumpulan dalam menggerakkan agenda ESG dan CSR melalui projek hijau berskala besar.
