KUALA LUMPUR: DC Healthcare Holdings Bhd (DC Healthcare), penyedia perkhidmatan estetik perubatan terkemuka, mengembangkan operasinya dengan membuka Klinik Dr Chong pertama di Melaka bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam sektor itu.
Terletak di Mahkota Parade, klinik baharu itu direka untuk menawarkan rawatan estetik perubatan tidak invasif dan invasif minimum, sekali gus memberikan pilihan lebih luas kepada pelanggan yang mengutamakan kecantikan dan kesejahteraan diri.
Pengarah Urusan DC Healthcare, Dr Chong Tze Sheng, berkata pembukaan cawangan pertama di Melaka adalah sebahagian daripada strategi pengembangan kumpulan di seluruh negara.
"Melaka memiliki pasaran yang berpotensi besar dengan permintaan tinggi terhadap rawatan estetik perubatan. Kami komited untuk menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia yang mudah diakses dan berkualiti tinggi kepada pelanggan, selain menyokong Melaka sebagai hab serantau kecantikan dan kesejahteraan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, penubuhan klinik itu sejajar dengan visi strategik DC Healthcare untuk mengembangkan rangkaian ke lokasi utama di Selatan dan Utara Malaysia, menarik tenaga pakar perubatan terbaik, serta meningkatkan teknologi bagi memperkukuh kualiti perkhidmatan.
Dengan kehadiran di Melaka, kumpulan itu turut menyasarkan untuk menarik pelanggan yang pelbagai, termasuk penduduk tempatan dan pelancong perubatan yang tertarik dengan ekosistem penjagaan kesihatan yang berkembang pesat di bandar bersejarah itu.
Ketika ini, DC Healthcare mengendalikan 20 Klinik Dr Chong dan empat Dr Chong Slimming di seluruh Malaysia, menjadikannya antara penyedia penyelesaian estetik perubatan yang dipercayai di negara ini.
Melangkah ke hadapan, kumpulan itu terus komited dalam memperluaskan jangkauan, meningkatkan mutu perkhidmatan, serta memacu pertumbuhan mampan dalam industri estetik perubatan yang berkembang pesat.
