KUALA LUMPUR: TOPVISION Eye Specialist Bhd (TOPVISION) memulakan dagangannya di Pasaran ACE hari ini dengan cemerlang apabila meraih premium sebanyak 18.18 peratus pada 39 sen sesaham berbanding harga terbitan 33 sen.
Syarikat perkhidmatan penjagaan mata di Malaysia itu memindahkan penyenaraiannya dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE bermula hari ini.
Naib Pengerusi Eksekutif TOPVISION, Datuk Kenny Liew Hock Nean, berkata pemindahan penyenaraian itu menandakan satu peristiwa penting dalam perjalanan TOPVISION, mencerminkan komitmen yang tidak berbelah bahagi untuk memberikan perkhidmatan penjagaan mata yang berkualiti dan boleh diakses di seluruh Malaysia.
"Ia melambangkan bukan sahaja kemuncak kerja keras kami tetapi juga keyakinan pasaran terhadap visi strategik dan potensi pertumbuhan kami.
"Dengan peralihan ini, kami menyasarkan untuk mengukuhkan kehadiran dalam sektor penjagaan kesihatan mata Malaysia, mengembangkan rangkaian perkhidmatan, dan meningkatkan standard penjagaan pesakit ke tahap yang lebih tinggi," katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu mengendalikan 11 pusat jagaan ambulatori (ACC) di seluruh negara, menawarkan pelbagai perkhidmatan daripada penjagaan mata am kepada rawatan subkepakaran, memenuhi keperluan pesakit tempatan dan antarabangsa.
IPO yang berjaya mengumpul RM17.9 juta itu akan diperuntukkan secara strategik untuk menyokong pengembangan dan matlamat operasi syarikat.
Secara khususnya, sebanyak RM7.9 juta akan digunakan untuk membiayai pembangunan TOPVISION International, ACC mata tertiari pakar pelbagai disiplin dengan tambahan RM5 juta diperuntukkan untuk penubuhan TOPVISION Kuala Terengganu dan TOPVISION Tawau.
Sementara itu, sebanyak RM500,000 digunakan untuk menambah baik kemudahan sedia ada melalui pembelian mesin perubatan.
Baki RM4.5 juta telah diperuntukkan untuk perbelanjaan penyenaraian.
Hong Leong Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan pemilik buku tunggal tawaran awam permulaan (IPO) TOPVISION.
